Tuesday, January 31, 2012

Riadah Sukan Cara Rasulullah SAW

Riadah Sukan Cara Rasulullah SAW
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على محمد وآل محمد
Islam agama syumul yang mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan akhirat tanpa meminggirkan persoalan duniawi. Justeru, amalan riadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat fizikal.
Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan masa terluang dengan melakukan riadah dan bersukan untuk mengekalkan kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah difardukan dengan sempurna dan penuh khusyuk.
.
Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar daripada sebarang penyakit memudaratkan. Ini penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan ancaman serta provokasi terhadap umat Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)
Banyak hadis menyebut mengenai acara sukan yang sangat popular pada zaman Rasulullah SAW seperti memanah, menunggang kuda serta berenang.
Sabda Rasulullah SAW : “Lemparkanlah (lepaskanlah anak panah) dan tunggangilah (kuda).” (Riwayat Muslim)